Friday 13 December 2013

RASUAH: PILIHAN ATAU KEINGINAN






RASUAH: PILIHAN ATAU KEINGINAN
Nurul Izzah Binti Md Rodzi
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)

Tugasan SZW502


Rasuah boleh ditakrifkan sebagai imbuhan atau ganjaran yang diperolehi daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dengan melanggar undang-undang dan etika. Menurut Islam, rasuah adalah harta yang diperolehi kerana melaksanakan sesuatu tanggungjawab dengan mengharapkan keuntungan atau mengelak daripada kemudharatan yang sepatutnya. Amalan rasuah adalah bertentangan dengan nilai-nilai moral, etika dan agama. Amalan ini secara umunya boleh disifatkan sebagai tawaran atau penerimaan sebarang pembayaran, hadiah, ganjaran dan lain-lain faedah daripada pihak-pihak tertentu untuk membuat sesuatu atau mempengaruhi sesuatu keputusan. Syed Hussin al-Atas pernah berkata, rasuah adalah suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan melibatkan pihak pemerintah, pihak swasta atau masyarakat umum. 

Rasuah merupakan ancaman yang besar kepada ekonomi sesebuah negara dan pembangunan sosial sesebuah negara. Malangnya, kadar rasuah yang tinggi juga terdiri dikalangan negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Malaysia juga tidak terlepas daripada masalah ini walaupun negara ini mempunyai lebih 50 peratus rakyatnya beragama Islam. Mengikut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), pada tahun 2012, 701 tangkapan dilakukan manakala pada tahun 2013 sehingga bulan Oktober sebanyak 426 tangkapan dilakukan yang 70 peratus lebih melibatkan orang awam. Timbul persoalan, kenapakah amalan ini masih berlaku? Sedangkan kerajaan telah melakukan pelbagai pelan tindakan untuk mencegah amalan ini.

Amalan rasuah bukan merupakan perkara baru kepada masyarakat. Pada zaman Rasulullah SAW lagi amalan ini telah wujud. Baginda SAW sendiri telah diuji dengan pelbagai ujian dalam usaha untuk menyebarkan risalah Islam. Salah satu daripada ujian tersebut ialah Baginda SAW ditawarkan dengan harta kekayaan oleh kaum Quraish supaya berhenti menyebarkan risalah Islam kepada penduduk Makkah, meninggalkan jihad dan meninggalkan perjuangan untuk membina masyarakat Rabbani. Walaupun pelbagai ujian dan sogokan yang ditawarkan kepada Rasulullah SAW, Baginda tetap dengan pendiriannya berdasarkan sabdanya:

"Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini."

Para sahabat Baginda SAW juga diuji dengan harta ketika melaksankan tanggungjawab mereka. Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah SAW telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua iaitu separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" (Imam Malik, Al Muwattha':1450).

Kefahaman sahabat terhadap konsep amanah dan jujur dalam melaksanakan sesuatu menjadi kekuatan kepada mereka untuk menolak unsur-unsur negatif yang datang kepada mereka. Pengharaman amalan rasuah ini dititik berat oleh para sahabat apabila Baginda SAW memberi penekanan dosa rasuah adalah sama dengan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina dan meminum arak. Selain itu, dosa rasuah bukan hanya kepada penerima rasuah malah kepada pemberi dan perantara yang melakukan perbuatan tersebut juga diberikan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Dari Abdillah bin Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah".(Riwayat At-Tirmidzi, No hadis: 3/622)

 
Mengapa rasuah berlaku?

Amalan rasuah boleh berpunca daripada sikap tamak haloba, ingin cepat kaya, tidak bersyukur, tidak amanah dan sebagainya. Apabila sikap-sikap ini menguasai seseorang maka hilanglah rasa bertuhan kerana menganggap kehidupan di dunia ini adalah selama-lamanya. Mereka juga merasakan kekayaan hanya daripada usaha mereka dan bukan daripada Allah SWT. Allah SWT telah memberi amaran kepada umat manusia supaya meninggalkan amalan ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya" (Al-Baqarah, 1: 188).

Selain daripada sikap-sikap tersebut, rasuah juga boleh berpunca daripada kelemahan rohani seseorang. Apabila lemahnya iman seseorang maka risiko untuk terlibat dengan amalan ini adalah tinggi. Tidak terkecuali yang tua, muda, perempuan atau lelaki. Rasuah bukan hanya memberikan kesan kepada pendapatan atau ekonomi negara, rasuah juga memberi kesan kepada pembinaan tamadun masyarakat dan pembinaan sumber manusia itu sendiri.

Pilihan dan Keinginan dalam Isu Rasuah

Amalan rasuah memerlukan dua atau tiga pihak untuk menjayakannya. Oleh itu, setiap pihak mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak amalan tersebut. Islam memberi ruang kepada penganutnya untuk membuat pilihan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Pilihan merupakan hak seseorang untuk melakukan sesuatu, sekuat mana tekanan yang diterima untuk menerima atau memberi rasuah jika seseorang memilih untuk menolaknya kerana lebih takutkan pilihan yang diberikan Allah SWT di akhirat kelak maka perkara tersebut dapat menjauhkan mereka daripada amalan rasuah. Terdapat dua pilihan dalam isu rasuah iaitu pilihan yang baik (menolak) dan buruk (menerima). Manakala keinginan pula melihat kepada kehendak seseorang dalam melakukan sesuatu sama ada berpandukan hukum atau mengikut hawa nafsu.

1)      Memilih menerima amalan rasuah?

Amalan rasuah berlaku disebabkan beberapa faktor namun, faktor yang memberi kesan yang besar adalah mereka mempunyai persepsi yang salah. Persepsi pertama iaitu rasuah bukan hanya mempunyai perkara negatif tetapi terdapat juga positifnya. Positifnya amalan rasuah apabila diberikan suapan kepada pihak-pihak tertentu, sesuatu pekerjaan tersebut dapat dipercepatkan. Pihak-pihak yang berhajat dan memberikan suapan menunjukkan mereka benar-benar mempunyai kepentingan terhadap urusan tersebut. Selain itu, sesebuah organisasi yang mempunyai birokrasi yang sangat tidak efisien dapat membuang halangan-halangan dalam memberi layanan yang baik apabila suapan diberikan. 

Anggapan kedua, amalan rasuah perlu diterima dalam keadaan-keadaan tertentu. Orang yang melakukan amalan rasuah sering kali menyatakan masyarakat perlu menerima amalan-amalan ini dalam sesetengah perkara. Jika tidak melakukannya sesuatu keputusan dan biroksasi yang harmoni tidak dapat diwujudkan. Hal ini kerana, rasuah memerlukan persetujuan bersama dan janji setia kedua pihak untuk melaksanakannya. 

Berdasarkan anggapan-anggapan tersebut, timbul persoalan adakah benar amalan rasuah mempunyai perkara positif? Walaupun terdapat sesetengah pihak menyatakan terdapat kesan positif dalam amalan rasuah namun sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada hukum yang telah ditetapkan iaitu sejauh mana kepentingan seseorang untuk menerima rasuah syarak telah menetapkan “sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara”. Walaupun matlamat melakukan rasuah adalah baik, jika jalan yang ditempuh untuk mendapatkannya adalah salah dan dilarang keras oleh agama maka perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan.

2)      Memilih untuk menolak?

Amalan rasuah ditolak apabila seseorang individu mempunyai sikap amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab. Setiap tanggungjawab yang diberikan terutamanya melibatkan pihak pengurusan atau organisasi telah disediakan gaji untuk pekerjaan mereka, pemberian atau pengharapan kepada upah-upah sampingan sepatutnya tidak berlaku. Tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja melibatkan amanah yang diberikan oleh majikan atau pihak kerajaan, malah melibatkan amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Oleh itu, kekuatan iman sahaja yang mampu mencegah seseorang daripada amalan ini. 

Selain itu, terdapat pihak yang menolak rasuah dalam bentuk wang tetapi menerima hadiah dan upah. Adakah hadiah juga boleh dikira sebagai rasuah? Hadiah adalah pemberian yang tidak mengharapkan kepada sebarang balasan malah Rasulullah SAW juga menerima hadiah. Namun, terdapat keadaan di mana para sahabat menolak pemberian hadiah kerana jawatan yang dipegang oleh mereka. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menolak hadiah walaupun dikatakan kepadanya bahawa Rasulullah SAW menerima hadiah dengan berpegang bahawa tindakan Rasulullah SAW tersebut adalah berbeza kerana apa yang diterima oleh Rasulullah SAW adalah hadiah tetapi hadiah yang diberikan kepada beliau adalah sogokan. Begitu juga dalam kes Ibnul Utbiah yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada satu kabilah untuk mengutip zakat dan beliau membawa balik kutipan zakat berserta pemberian hadiah daripada kabilah tersebut dan ditegur oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:

"Mengapa kamu tidak tinggal dirumah bersama ayah dan ibu kamu menantikan hadiah itu sampai kepada kamu, sekiranya kamu memang benar orang yang jujur."

Kisah tersebut dapat dijadikan garis panduan dan pengajaran kepada kita bahawa rasuah adalah sesuatu yang rumit dan boleh terjadi dalam pelbagai bentuk bergantung kepada cara seseorang untuk melakukannya. Perkara ini perlu menjadi peringatan kepada setiap individu yang mempunyai tanggungjawab dan jawatan dalam sesebuah organisasi, jabatan dan sebagainya. Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh semua pekerja sama ada daripada pihak kerajaan atau swasta kerana mereka telah diberikan gaji atas pekerjaan mereka. Penerimaan lain setelah menerima gaji adalah dilarang, ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)” (Riwayat Abu Daud, No hadis: 2943)

3)      Keinginan individu

Keinginan adalah sesuatu yang berasal daripada hasrat (nafsu) atau harapan seseorang untuk mencapai sesuatu dan memenuhi kepuasan dalam hidupnya. Timbul persoalan adakah semua keinginan boleh diikuti? Keinginan manusia adalah tidak terbatas, namun manusia bukan hanya hidup secara individu dalam dunia ini. Kehidupan manusia melibatkan masyarakat, alam dan yang lebih utama adalah sebagai hamba kepada Allah SWT. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Adz-Dzariyat,51: 56).

Manusia perlu sedar sejauh mana mereka berjalan di muka bumi mereka tidak dapat terlepas daripada peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Oleh itu, keinginan manusia haruslah bersandarkan kepada kehendak Allah SWT. Tidak ada bandingannya keinginan manusia dengan apa yang diperintah dan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Begitu juga dalam mengejar kekayaan di dunia.

Umat Islam digalakkan untuk mencari harta kekayaan, namun kekayaan yang dicari hendaklah diniatkan supaya menjadi ibadah dan mendatangkan keredhaan Allah SWT. Kekayaan yang diperolehi dengan jalan yang tidak dibenarkan syarak seperti amalan rasuah adalah berlandaskan keinginan dan nafsu semata-mata. Walaupun tidak dinafikan manusia mempunyai nafsu, namun Allah SWT yang maha bijaksana telah mengurniakan manusia akal untuk berfikir sama ada sesuatu perkara tersebut baik atau buruk.

Amalan rasuah yang berlaku pada hari ini disebabkan sikap tidak bersyukur dan tamak dengan kemewahan di dunia. Keinginan untuk mendapatkan sesuatu imbuhan selain daripada yang sepatutnya menunjukkan sikap tidak bersyukur. Apabila tidak bersyukur maka tiada keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Begitu juga sikap tamak, kerana keinginan menjadi kaya dengan jalan pintas menyebabkan seseorang berlaku zalim dan membelakangkan hukum. Apabila nafsu menguasai manusia maka tiada belas kasihan dan rasa bersalah terhadap apa yang mereka lakukan. Amalan rasuah ini bukan hanya mendapat kutukan daripada Allah SWT malah amalan ini memberi kesan kepada keturunan pelakunya. Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Setiap daging yang tumbuh dariapada sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram maka nerakalah yang selayaknya baginya”.(Riwayat Imam Ahmad, No.Hadis: 610).

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat kemungkinan besar amalan rasuah ini juga memberi kesan kepada keturunan yang terkemudian. Perkara ini disebabkan apabila setiap harta yang diberi atau ditinggalkan kepada keturunan yang berikutnya daripada hasil rasuah maka hasil tersebut adalah haram mengikut hukum walaupun mereka tidak mengetahui. Oleh itu, umat Islam perlu sedara bahawa keinginan hendaklah bersandarkan kepada hak manusia dan hukum yang telah ditetapkan Allah SWT. Keinginan yang didasari oleh nafsu boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke dalam lembah yang hina dan mendapat kutukan daripada Allah SWT.

Benteng Diri daripada Rasuah

Terdapat pelbagai cara untuk menjaga diri daripada rasuah yang melibatkan individu, masyarakat dan juga pemerintah. Namun, perbincangan ini memberi fokus kepada individu yang lebih memberi kesan kepada amalan ini.  Di antara perkara yang boleh dijadikan benteng seseorang daripad amalan rasua adalah:

1)      Iman yang kuat

Seseorang yang mempunyai iman yang kuat dengan melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak akan terjebak dalam amalan rasuah ini. Tidak mungkin seseorang yang menjaga solat, puasa dan ibadah-ibadah yang lain mudah untuk terpengaruh atau terjebak dengan amalan yang dikeji oleh Allah SWT. Insan yang mempunyai iman yang kuat mengenai hari pembalasan akan menganggap dunia hanya sebagai tempat persinggahan untuk menuju tempat yang kekal abadi. Orang yang beriman merasakan segala yang berlaku di dunia adalah ujian yang perlu ditempuhi untuk kesenangan di akhirat kelak. Keadaan kehidupan di dunia juga telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:

Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”(Riwayat Muslim, no.Hadis: 481).


Hadis tersebut memberi gambaran bahawa seseorang mukmin tidak merasakan ujian dan kekurangan yang dimiliki ketika hidup di dunia sebagai sesuatu yang merugikan. Oleh itu, sekuat mana tekanan dan dugaan yang ditempuhi ketika di dunia manusia tidak perlu tunduk kepadanya jika terdapat tegahan dan larangan daripada Maha Pencipta.

2)      Jujur dan amanah

Jujur dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dapat mengelak seseorang daripada terlibat dalam amalan rasuah. Apabila seseorang jujur, setiap pekerjaan yang dilakukannya terarah kepada kebaikan, dan kebaikan tersebut membawanya kepada keredhaan Allah SWT. Seorang yang jujur juga akan teguh memegang amanah yang diberikan kepadanya. Sebagai hamba Allah kita bukan sahaja perlu melaksanakan amanah yang diberikan oleh manusia tetapi yang lebih utama amanah yang diberikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi. Kedua-dua amanah ini melibatkan hubungan di antara manusia (hablum minannas) dan hubungan dengan Pencipta (hablum minallah).

Manusia diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An-Nisa’, 4:58)

Amanah dalam kehidupan berkait dengan pelbagai perkara yang merangkumi hak Allah SWT, hak sesama manusia, hak dalam kesederhanaan, hak dalam tanggungjawab dalam organisasi. Oleh itu, sifat jujur dan amanah adalah sifat yang serangkai dan saling berkaitan. Apabila wujudnya sifat jujur dalam diri seseorang maka dengan sendirinya sifat amanah terbentuk dalam diri seseorang.

3)      Bersyukur

Syukur terdiri daripada tiga perkara yang mendasarinya iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmu dapat menyedarkan seseorang bahawa nikmat yang diterimanya adalah kurniaan Allah SWT. Dengan nikmat tersebut manusia melahirkan rasa syukur dan rasa gembira. Manakala, apabila bersyukur sudah pasti setiap perbuatan yang dilakukannya terarah untuk mencapai redha Allah SWT.

Dalam konteks amalan rasuah, manusia dapat menolak amalan tersebut dengan mudah apabila berasa syukur dan cukup dengan nikmat yang Allah berikan. Seseorang yang bersyukur juga tidak akan cuba mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi haknya secara batil. Mengambil hak secara batil merupakan perbuatan mengkufuri nikmat Allah SWT dengan jawatan dan pekerjaan yang dilakukannya. Sikap syukur ini juga menyebabkan seseorang berasa tenang dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT sama ada kaya, miskin, sihat atau sakit. Hal ini kerana, kepercayaan bahawa setiap sesuatu yang diberikan Allah SWT kepada hambanya mempunyai hikmah yang tersendiri. Sikap manusia yang tidak bersyukur telah dinyatakan Allah SWT yang bermaksud:

dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi melihat dengan nyata". (As-Syura, 42: 27)

Firman Allah SWT tersebut menyatakan bahawa seseorang yang dikatakan tidak bersyukur adalah orang yang tamak dengan kemewahan dunia dan tidak pernah berasa puas dengan apa yang dimilikinya.

Sebagai kesimpulannya, rasuah merupakan amalan yang mengkhianati agama dan negara. Amalan ini tidak boleh diterima walaupun terdapat sesetengah pihak yang menyatakan terdapat unsur positif dalam pelaksanaanya. Amalan ini jelas ditolak dalam Islam semenjak zaman Rasulullah SAW. Manusia sepatutnya tidak lalai dengan kemewahan dunia sehingga mengabaikan kewajipan dan hak yang sepatutnya. Islam telah menyatakan bahawa harta dan kemewahan di dunia adalah ujian kepada orang-orang yang beriman. Keimanan, keyakinan dan kepatuhan yang teguh kepada perintah Allah SWT dapat menghindari seseorang itu daripada terjebak dengan amalan yang keji ini. Oleh itu, manusia khususnya umat Islam perlu sedar dan kembali kepada fitrah kejadian yang sebenar bahawa mereka diciptakan untuk menjadi hamba dan khlifah di atas muka bumi ini.



No comments:

Post a Comment