Saturday 17 November 2012

BERTUDUNG: FESYEN ATAU TUNTUTAN AGAMA


Tugasan Blog SIW505

Bertudung: Fesyen Atau Tuntutan Agama

Nurul Izzah Binti  Md Rodzi
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM0061/12

Wanita tidak boleh dipisahkan dengan fesyen. Bermula dengan pakaian, kasut dan tudung.  Masing-masing mahu kelihatan bergaya, cantik, menarik dan menjadi perhatian orang ramai.  Tidak dinafikan bahawa bukan semua wanita tergolong dalam golongan ini, tetapi realitinya kemunculan rekaan-rekaan fesyen adalah untuk memberi pilihan kepada kaum wanita.  Jika dilihat fesyen tudung hari ini tidak dapat dikira jumlahnya.  Pelbagai jenis tudung diperkenal dan memenuhi pasaran. Di antaranya, tudung Arini, Bawal, Isha Nur, Syria, Mawi, Siti dan lain-lain.  Muncul juga festival-festival busana Muslimah yang memperagakan pelbagai jenis fesyen yang diadakan di dalam dan luar negara.  Masing-masing mempamerkan bakat tanpa mempedulikan sama ada perkara tersebut bertepatan dengan tuntutan agama ataupun tidak. 

Islam tidak melarang untuk berfesyen, selagi mana tidak bertentangan dengan garis panduan yang telah ditetapkan.  Pemakaian tudung bukan satu perkara yang hanya melibatkan individu tertentu sahaja.  Ia juga secara tidak langsung memberi kesan kepada masyarakat dan agama khususnya.  Kefahaman yang baik mengenai agama akan terzahir melalui akhlak dan perwatakkan seseorang.  Begitu juga dalam pemakaian tudung, jika difahami hukum dan kenapa ia disyariatkan maka seseorang itu tidak akan berlebihan dan keluar daripada peraturan yang telah ditetapkan.  Kaum wanita perlu tahu bahawa hukum pemakaian tudung adalah wajib.  Oleh yang demikian, tiada alasan dan pengecualian diberikan kepada mana-mana pihak.  Hukum wajib ini bermula apabila seseorang perempuan telah mencapai usia baligh.  Kanak-kanak tidak termasuk dalam hukum ini buat sementara waktu, akan tetapi Islam menyarankan ibubapa agar mula melatih anak-anak mereka menutup aurat bermula dari usia kanak-kanak.  Bak kata pepatah “hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Ini kerana, walaupun mereka tidak mengetahui tujuan dan hukumnya, namun perlu diberi perhatian di atas pesanan Rasulullah SAW iaitu awal-awal agama ialah mengingati Allah.  Ertinya, biarlah kecintaan kepada Allah tertanam di dalam hati mereka sehingga timbul rasa takut dan patuh pada suruhan dan menjauhi larangan-Nya (Nor Atiqah Ghazali, 2002: 4).

Pemakaian tudung bukan sahaja bergantung kepada kefahaman pensyariatannya.  Ini kerana, setiap sesuatu perkara itu bermula dengan niat.  Jika niatnya kerana Allah SWT maka pahala yang akan diperolehnya, tetapi jika sebaliknya maka ia sia-sia dan tidak akan memberi sebarang manfaat kepada seseorang itu.  Niat yang betul dalam pemakaian tudung adalah bertepatan dengan tasawur Islam.  Mengikut tasawur Islam, pemakain tudung mestilah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu:

1.      Mesti menutupi kepala, bahagian dada dan termasuk leher
Perkara ini bagi membetulkan perspeksi masyarakat yang salah faham bahawa tudung hanya perlu menutupi bahagian rambut sahaja.  Kefahaman ini sama sekali tidak bertepatan dengan aturan Islam kerana Allah SWT telah berfirman:

Maksudnya: “dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka...”   ( al-Nur, 24: 31)
Yang di maksudkan dengan menutup belahan leher dalam ayat ini ialah menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher.  Termasuk juga semua tempat yang boleh membawa fitnah. 

2.      Tidak jarang hingga menampakkan leher dan telinga
Pemakaian tudung bukan sahaja diwajibkan menutupi bahkan ia juga perlu melindungi.  Bermaksud tudung bukan sahaja untuk menutup tetapi ia juga menghalang daripada kelihatannya aurat, bermaksud setiap tudung mestilah tidak jarang sehingga menampakkan aurat sama seperti tidak bertudung.

3.      Tidak mengikut cara pemakaian orang kafir
Umat Islam diharamkan dari mengikuti cara orang kafir, tetapi kemunculan kebanyakan fesyen hari ini menjurus ke arah tersebut.  Contohnya, sanggul bonggol unta, pusingan tudung yang menyerupai kaum jahiliyah dan lain-lain.  Perkara ini dilarang tegas oleh Rasulullah SAW,

Maksudnya: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka.  Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang.  Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu.  Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget.  Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya.  Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya ”   ( Riwayat Muslim, no. 2128)
Maksud daripada hadith “kepala mereka seperti punuk unta”, adalah wanita yang mengikat atau menggulung rambutnya sehingga nampak sebuah bonjolan di bahagian belakang kepala dan kelihatan di sebalik tudungnya (Muhammad Fathullah al-Haq, 2012)




4.      Tidak tabarruj ( hiasan yang berlebihan hingga menarik perhatian seseorang)
Tujuan bertudung adalah untuk menjaga dan melindungi kaum wanita.  Tudung bukannya hiasan tambahan untuk menarik perhatian dan menambah fitnah manusia.  Tudung yang ditambah dengan pelbagai aksesori seperti manik-manik, berlian, bunga dan lain-lain sehingga orang ramai tertumpu kepada kecantikannya akan menenggelamkan tujaun asal disyariatkan bertudung iaitu mengelak daripada fitnah.  Hukum tabarruj adalah berdosa kerana boleh membawa kepada zina dan masalah sosial yang lain (Nor Atiqah Ghazali, 2002: 24).  Perkara ini dilarang oleh Islam dalam menjaga kemaslahatan manusia.

5.      Pakaian hendaklah selari dengan imej bertudung
Salah faham tentang pemakaian tudung juga menyebabkan ramai orang yang hanya bertudung tetapi aurat yang lain didedahkan.  Perlu diperbetulkan di sini bahawa bertudung merupakan salah satu kewajipan untuk menutup sebahagian aurat iaitu rambut, bahagian dada dan leher.  Manakala, aurat wanita yang lain seperti betis, badan, dan lengan juga perlu dilindungi daripada terdedah.  Bukan dikatakan seseorang itu sudah menutup aurat jika dia hanya memakai tudung, tetapi pakaiannya ketat, seluarnya ketat dan skirtnya pendek.  Ini kerana, tujuan asal menutup aurat itu sendiri adalah melindungi wanita, jika bertudung hanya kerana untuk dikatakan cantik dan baik tetapi aurat lainnya dibuka maka tujuan asalnya tidak akan sampai.  Wanita yang betul-betul faham mengenai tujuan menutup aurat bukan sahaja akan mendapat perlindungan daripada Allah SWT, mereka juga akan dikenali di dunia sebagai perempuan yang baik-baik seperti mana dalam firman Allah SWT iaitu;

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab, 33: 59)
Penurunan ayat ini adalah untuk melindungi kaum wanita Islam daripada gangguan orang-orang yang fasik, berniat jahat dan orang yang suka mengambil kesempatan.  Ini kerana, kaum wanita jahiliyah suka menampakkan sebahagian kecantikan mereka seperti leher, dada dan rambut sehingga mereka diganggu oleh orang-orang fasik dan jahat (Zaharuddin Abd Rahman, 2007).


Tidak salah juga jika kaum wanita mahu kelihatan cantik dan bergaya, asalkan kecenderungan tersebut tidak melampaui batas dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seseorang yang bergelar Muslimah.  Berfesyen juga dibenarkan jika ia kena pada keadaan dan tempatnya.  Bertudung mengikut panduan-panduan yang telah digariskan akan memberikan ketenangan dan keselamatan kepada si pemakai.  Ini kerana, pensyariatan bertudung mempunyai kelebihan yang tidak terhingga kepada sesiapa yang mengetahuinya.  Jangan kerana terlalu mengejar kecantikan dan fesyen, sehingga agama diketepikan.  Dunia hari ini, tidak lagi menerima alasan yang mengatakan kekurangan ilmu dan maklumat menyebabkan seseorang itu melakukan kesalahan.  Ilmu perlu dicari bagi menambahkan kefahaman dan sekaligus dapat memperbaiki akhlak dan tatasusila seseorang manusia.

Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang melindungi dan menjaga kehidupan manusia.  Disebabkan sikap takabur dan tamak, manusia sering kali lalai daripada perintah dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.  Oleh itu, selain daripada kaum wanita itu sendiri, ayah, ibu, dan suami juga perlu memainkan peranan dalam mendidik anak dan isteri mereka dalam mematuhi kewajipan menutup aurat.  Aurat merupakan perkara yang perlu dilindungi dengan pakaian dan tudung yang menepati kehendak syarak.  Ini kerana, hukum pensyariatannya sudah jelas dinyatakan di dalam al-Qur’an dan Hadith. Oleh itu, kaum wanita khususnya perlu menjaga diri bukan sahaja kepada ancaman di dunia bahkan lebih lagi kepada ancaman di akhirat kelak yang mana tidak akan ada seorang pun yang dapat membantu kecuali amalan masing-masing.  Manusia perlu sedar dan kembali kepada fitrah kejadian yang memerlukan bimbingan daripada Allah SWT sepertimana yang terdapat di dalam agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. 


BIBLIOGRAFI

Abu Syuqqah, Abdul Mahmud (1990). Busana dan Perhiasan Wanita Menurut Al-Quran dan Hadis, trj. Mudzakir Abdussalam. Bandung: Al-Bayan.

Akhwat Muslimah (2011).  Diakses daripada http://www.akhwatmuslimah.com/2011/07/263/kepala-bagai-punuk-unta/, pada 28 Oktober 2012.

Anwar (2011).  Hati-hati Jilbab Seperti Punuk Unta. Diakses daripada


Endok Sempo Mohd. Tahir (2008). Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung. Kuala Lumpur: BS Print (M) Sdn. Bhd.

Huzaifah (2011).  8 Jenis Tudung Di MalaysiaDiakses daripada http://melayukini.net/2011/12/8-jenis-fesyen-tudung-pelik-di-malaysia/, pada 28 Oktober 2012.

Iluvislam (2011). Aurat Wanita Dari Al-Quran dan Hadis.  Diakses daripada http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2446-aurat-wanita-dari-al-quran-dan-hadis.html,  pada 22 Oktober 2012.

Jabatan Agama Islam Selangor (2012). Aurat Dalam Islam.  Diakses daripada http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=98&Itemid=1,  pada 28 Oktober 2012.

Muhammad Fathullah al-Haq Muhd Asni (2012). Memahami Hadith Sanggul Tinggi Umpama Bonggol Unta Bagi Wanita. Diakses daripada http://fikrahhalaqah.com/memahami-hadis-sanggul-tinggi-umpama-bonggol-unta-bagi-wanita/, pada 28 Oktober 2012.

Nina Surtiretna, et.al. (1993). Aggun Berjilbab. Bandung: Penerbit Pustaka.

Nor Atiqah Ghazali (2002). Aurat-Antara Kemahuan Dan Halangan. Johor Bharu: Perniagaan Jahabersa.

Yayasan Ilmu (2011).  Aurat: Ketetapan Allah SWT Dalam al-Quran. Diakses daripada http://yayasan-ilmu.blogspot.com/2011/03/aurat-ketetapan-allah-aw-dalam-al-quran_28.html,  pada 16 November 2012.


Zaharuddin Abd Rahman (2007). Aurat Wanita: Apa Sudah Jadi?Diakses daripada http://zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/288-aurat-wanita--apa-sudah-jadi-.html. 12 April 2007,  pada 28 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment