RASUAH: PILIHAN ATAU KEINGINAN
Nurul
Izzah Binti Md Rodzi
Pusat Kajian
Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Tugasan SZW502
Rasuah boleh ditakrifkan sebagai imbuhan atau ganjaran
yang diperolehi daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dengan melanggar
undang-undang dan etika. Menurut Islam, rasuah adalah harta yang diperolehi
kerana melaksanakan sesuatu tanggungjawab dengan mengharapkan keuntungan atau
mengelak daripada kemudharatan yang sepatutnya. Amalan rasuah adalah
bertentangan dengan nilai-nilai moral, etika dan agama. Amalan ini secara
umunya boleh disifatkan sebagai tawaran atau penerimaan sebarang pembayaran,
hadiah, ganjaran dan lain-lain faedah daripada pihak-pihak tertentu untuk
membuat sesuatu atau mempengaruhi sesuatu keputusan. Syed Hussin al-Atas pernah
berkata, rasuah adalah suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan
melibatkan pihak pemerintah, pihak swasta atau masyarakat umum.
Rasuah merupakan ancaman yang besar kepada ekonomi
sesebuah negara dan pembangunan sosial sesebuah negara. Malangnya, kadar rasuah
yang tinggi juga terdiri dikalangan negara yang majoriti rakyatnya beragama
Islam. Malaysia juga tidak terlepas daripada masalah ini walaupun negara ini
mempunyai lebih 50 peratus rakyatnya beragama Islam. Mengikut statistik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), pada tahun 2012, 701 tangkapan dilakukan
manakala pada tahun 2013 sehingga bulan Oktober sebanyak 426 tangkapan
dilakukan yang 70 peratus lebih melibatkan orang awam. Timbul persoalan,
kenapakah amalan ini masih berlaku? Sedangkan kerajaan telah melakukan pelbagai
pelan tindakan untuk mencegah amalan ini.
Amalan rasuah bukan merupakan perkara baru
kepada masyarakat. Pada zaman Rasulullah SAW lagi amalan ini telah wujud.
Baginda SAW sendiri telah diuji dengan pelbagai ujian dalam usaha untuk
menyebarkan risalah Islam. Salah satu daripada ujian tersebut ialah Baginda SAW
ditawarkan dengan harta kekayaan oleh kaum Quraish supaya berhenti menyebarkan
risalah Islam kepada penduduk Makkah, meninggalkan jihad dan meninggalkan
perjuangan untuk membina masyarakat Rabbani. Walaupun pelbagai ujian dan
sogokan yang ditawarkan kepada Rasulullah SAW, Baginda tetap dengan
pendiriannya berdasarkan sabdanya:
"Sekiranya
bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku
tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini."
Para sahabat Baginda SAW juga diuji dengan
harta ketika melaksankan tanggungjawab mereka. Di dalam sebuah riwayat
disebutkan bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke
Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil
buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah SAW telah memutuskan bahawa hasil
bumi Khaibar dibahagi dua iaitu separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang
separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah
sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa
berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:
"Perhiasan ini untuk anda,
ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah
menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang
paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih
membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami
kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka
(Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap
tegak!" (Imam Malik, Al Muwattha':1450).
Kefahaman sahabat terhadap konsep amanah
dan jujur dalam melaksanakan sesuatu menjadi kekuatan kepada mereka untuk
menolak unsur-unsur negatif yang datang kepada mereka. Pengharaman amalan
rasuah ini dititik berat oleh para sahabat apabila Baginda SAW memberi
penekanan dosa rasuah adalah sama dengan dosa-dosa besar yang lain seperti
berzina dan meminum arak. Selain itu, dosa rasuah bukan hanya kepada penerima
rasuah malah kepada pemberi dan perantara yang melakukan perbuatan tersebut
juga diberikan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Dari
Abdillah bin Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah SAW melaknat pemberi
rasuah dan penerima rasuah".(Riwayat At-Tirmidzi, No hadis: 3/622)
Mengapa
rasuah berlaku?
Amalan
rasuah boleh berpunca daripada sikap tamak haloba, ingin cepat kaya, tidak
bersyukur, tidak amanah dan sebagainya. Apabila sikap-sikap ini menguasai
seseorang maka hilanglah rasa bertuhan kerana menganggap kehidupan di dunia ini
adalah selama-lamanya. Mereka juga merasakan kekayaan hanya daripada usaha
mereka dan bukan daripada Allah SWT. Allah SWT telah memberi amaran kepada umat
manusia supaya meninggalkan amalan ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan
janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu
dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi
rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari
harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya" (Al-Baqarah,
1: 188).
Selain daripada sikap-sikap tersebut,
rasuah juga boleh berpunca daripada kelemahan rohani seseorang. Apabila lemahnya
iman seseorang maka risiko untuk terlibat dengan amalan ini adalah tinggi. Tidak
terkecuali yang tua, muda, perempuan atau lelaki. Rasuah bukan hanya memberikan
kesan kepada pendapatan atau ekonomi negara, rasuah juga memberi kesan kepada
pembinaan tamadun masyarakat dan pembinaan sumber manusia itu sendiri.
Pilihan dan Keinginan dalam Isu Rasuah
Amalan rasuah memerlukan dua atau tiga
pihak untuk menjayakannya. Oleh itu, setiap pihak mempunyai pilihan sama ada
menerima atau menolak amalan tersebut. Islam memberi ruang kepada penganutnya
untuk membuat pilihan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Pilihan
merupakan hak seseorang untuk melakukan sesuatu, sekuat mana tekanan yang
diterima untuk menerima atau memberi rasuah jika seseorang memilih untuk
menolaknya kerana lebih takutkan pilihan yang diberikan Allah SWT di akhirat
kelak maka perkara tersebut dapat menjauhkan mereka daripada amalan rasuah.
Terdapat dua pilihan dalam isu rasuah iaitu pilihan yang baik (menolak) dan
buruk (menerima). Manakala keinginan pula melihat kepada kehendak seseorang
dalam melakukan sesuatu sama ada berpandukan hukum atau mengikut hawa nafsu.
1) Memilih menerima amalan rasuah?
Amalan
rasuah berlaku disebabkan beberapa faktor namun, faktor yang memberi kesan yang
besar adalah mereka mempunyai persepsi yang salah. Persepsi pertama iaitu
rasuah bukan hanya mempunyai perkara negatif tetapi terdapat juga positifnya.
Positifnya amalan rasuah apabila diberikan suapan kepada pihak-pihak tertentu,
sesuatu pekerjaan tersebut dapat dipercepatkan. Pihak-pihak yang berhajat dan
memberikan suapan menunjukkan mereka benar-benar mempunyai kepentingan terhadap
urusan tersebut. Selain itu, sesebuah organisasi yang mempunyai birokrasi yang sangat
tidak efisien dapat membuang halangan-halangan dalam memberi layanan yang baik
apabila suapan diberikan.
Anggapan
kedua, amalan rasuah perlu diterima dalam keadaan-keadaan tertentu. Orang yang
melakukan amalan rasuah sering kali menyatakan masyarakat perlu menerima
amalan-amalan ini dalam sesetengah perkara. Jika tidak melakukannya sesuatu
keputusan dan biroksasi yang harmoni tidak dapat diwujudkan. Hal ini kerana,
rasuah memerlukan persetujuan bersama dan janji setia kedua pihak untuk melaksanakannya.
Berdasarkan anggapan-anggapan tersebut,
timbul persoalan adakah benar amalan rasuah mempunyai perkara positif? Walaupun
terdapat sesetengah pihak menyatakan terdapat kesan positif dalam amalan rasuah
namun sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada hukum yang telah
ditetapkan iaitu sejauh mana kepentingan seseorang untuk menerima rasuah syarak
telah menetapkan “sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara”. Walaupun matlamat
melakukan rasuah adalah baik, jika jalan yang ditempuh untuk mendapatkannya
adalah salah dan dilarang keras oleh agama maka perbuatan tersebut hendaklah
ditinggalkan.
2) Memilih untuk menolak?
Amalan
rasuah ditolak apabila seseorang individu mempunyai sikap amanah dan jujur
dalam melaksanakan tanggungjawab. Setiap tanggungjawab yang diberikan
terutamanya melibatkan pihak pengurusan atau organisasi telah disediakan gaji
untuk pekerjaan mereka, pemberian atau pengharapan kepada upah-upah sampingan
sepatutnya tidak berlaku. Tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja melibatkan
amanah yang diberikan oleh majikan atau pihak kerajaan, malah melibatkan amanah
yang diberikan oleh Allah SWT. Oleh itu, kekuatan iman sahaja yang mampu
mencegah seseorang daripada amalan ini.
Selain
itu, terdapat pihak yang menolak rasuah dalam bentuk wang tetapi menerima
hadiah dan upah. Adakah hadiah juga boleh dikira sebagai rasuah? Hadiah adalah
pemberian yang tidak mengharapkan kepada sebarang balasan malah Rasulullah SAW
juga menerima hadiah. Namun, terdapat keadaan di mana para sahabat menolak
pemberian hadiah kerana jawatan yang dipegang oleh mereka. Khalifah Umar Abdul
Aziz pernah menolak hadiah walaupun dikatakan kepadanya bahawa Rasulullah SAW
menerima hadiah dengan berpegang bahawa tindakan Rasulullah SAW tersebut adalah
berbeza kerana apa yang diterima oleh Rasulullah SAW adalah hadiah tetapi
hadiah yang diberikan kepada beliau adalah sogokan. Begitu juga dalam kes Ibnul
Utbiah yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada satu kabilah untuk mengutip
zakat dan beliau membawa balik kutipan zakat berserta pemberian hadiah daripada
kabilah tersebut dan ditegur oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:
"Mengapa
kamu tidak tinggal dirumah bersama ayah dan ibu kamu menantikan hadiah itu
sampai kepada kamu, sekiranya kamu memang benar orang yang jujur."
Kisah tersebut dapat dijadikan garis
panduan dan pengajaran kepada kita bahawa rasuah adalah sesuatu yang rumit dan
boleh terjadi dalam pelbagai bentuk bergantung kepada cara seseorang untuk melakukannya.
Perkara ini perlu menjadi peringatan kepada setiap individu yang mempunyai
tanggungjawab dan jawatan dalam sesebuah organisasi, jabatan dan sebagainya.
Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh semua pekerja sama ada daripada
pihak kerajaan atau swasta kerana mereka telah diberikan gaji atas pekerjaan
mereka. Penerimaan lain setelah menerima gaji adalah dilarang, ini berdasarkan
sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa
yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan
baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu
adalah ghulul (pengkhianatan)” (Riwayat Abu Daud, No hadis: 2943)
3) Keinginan individu
Keinginan adalah sesuatu yang berasal
daripada hasrat (nafsu) atau harapan seseorang untuk mencapai sesuatu dan
memenuhi kepuasan dalam hidupnya. Timbul persoalan adakah semua keinginan boleh
diikuti? Keinginan manusia adalah tidak terbatas, namun manusia bukan hanya
hidup secara individu dalam dunia ini. Kehidupan manusia melibatkan masyarakat,
alam dan yang lebih utama adalah sebagai hamba kepada Allah SWT. Perkara ini
berdasarkan firman Allah SWT:
“Tidaklah
Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Adz-Dzariyat,51:
56).
Manusia perlu sedar sejauh mana mereka
berjalan di muka bumi mereka tidak dapat terlepas daripada peraturan yang telah
ditetapkan oleh Allah SWT. Oleh itu, keinginan manusia haruslah bersandarkan
kepada kehendak Allah SWT. Tidak ada bandingannya keinginan manusia dengan apa
yang diperintah dan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Begitu juga dalam
mengejar kekayaan di dunia.
Umat
Islam digalakkan untuk mencari harta kekayaan, namun kekayaan yang dicari
hendaklah diniatkan supaya menjadi ibadah dan mendatangkan keredhaan Allah SWT.
Kekayaan yang diperolehi dengan jalan yang tidak dibenarkan syarak seperti
amalan rasuah adalah berlandaskan keinginan dan nafsu semata-mata. Walaupun tidak
dinafikan manusia mempunyai nafsu, namun Allah SWT yang maha bijaksana telah mengurniakan
manusia akal untuk berfikir sama ada sesuatu perkara tersebut baik atau buruk.
Amalan
rasuah yang berlaku pada hari ini disebabkan sikap tidak bersyukur dan tamak
dengan kemewahan di dunia. Keinginan untuk mendapatkan sesuatu imbuhan selain
daripada yang sepatutnya menunjukkan sikap tidak bersyukur. Apabila tidak
bersyukur maka tiada keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Begitu juga sikap
tamak, kerana keinginan menjadi kaya dengan jalan pintas menyebabkan seseorang
berlaku zalim dan membelakangkan hukum. Apabila nafsu menguasai manusia maka
tiada belas kasihan dan rasa bersalah terhadap apa yang mereka lakukan. Amalan
rasuah ini bukan hanya mendapat kutukan daripada Allah SWT malah amalan ini
memberi kesan kepada keturunan pelakunya. Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap
daging yang tumbuh dariapada sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram
maka nerakalah yang selayaknya baginya”.(Riwayat Imam Ahmad, No.Hadis: 610).
Berdasarkan hadis
tersebut, terdapat kemungkinan besar amalan rasuah ini juga memberi kesan
kepada keturunan yang terkemudian. Perkara ini disebabkan apabila setiap harta
yang diberi atau ditinggalkan kepada keturunan yang berikutnya daripada hasil
rasuah maka hasil tersebut adalah haram mengikut hukum walaupun mereka tidak
mengetahui. Oleh itu, umat Islam perlu sedara bahawa keinginan hendaklah
bersandarkan kepada hak manusia dan hukum yang telah ditetapkan Allah SWT.
Keinginan yang didasari oleh nafsu boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke
dalam lembah yang hina dan mendapat kutukan daripada Allah SWT.
Benteng Diri daripada Rasuah
Terdapat pelbagai cara untuk menjaga
diri daripada rasuah yang melibatkan individu, masyarakat dan juga pemerintah.
Namun, perbincangan ini memberi fokus kepada individu yang lebih memberi kesan
kepada amalan ini. Di antara perkara
yang boleh dijadikan benteng seseorang daripad amalan rasua adalah:
1) Iman yang kuat
Seseorang yang mempunyai iman yang kuat
dengan melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak akan
terjebak dalam amalan rasuah ini. Tidak mungkin seseorang yang menjaga solat,
puasa dan ibadah-ibadah yang lain mudah untuk terpengaruh atau terjebak dengan
amalan yang dikeji oleh Allah SWT. Insan yang mempunyai iman yang kuat mengenai
hari pembalasan akan menganggap dunia hanya sebagai tempat persinggahan untuk
menuju tempat yang kekal abadi. Orang yang beriman merasakan segala yang
berlaku di dunia adalah ujian yang perlu ditempuhi untuk kesenangan di akhirat
kelak. Keadaan kehidupan di dunia juga telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW
dalam sabda Baginda:
“Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi
orang kafir”(Riwayat Muslim, no.Hadis: 481).
Hadis tersebut memberi
gambaran bahawa seseorang mukmin tidak merasakan ujian dan kekurangan yang
dimiliki ketika hidup di dunia sebagai sesuatu yang merugikan. Oleh itu, sekuat
mana tekanan dan dugaan yang ditempuhi ketika di dunia manusia tidak perlu
tunduk kepadanya jika terdapat tegahan dan larangan daripada Maha Pencipta.
2) Jujur dan amanah
Jujur dalam melaksanakan tanggungjawab
yang diberikan dapat mengelak seseorang daripada terlibat dalam amalan rasuah.
Apabila seseorang jujur, setiap pekerjaan yang dilakukannya terarah kepada
kebaikan, dan kebaikan tersebut membawanya kepada keredhaan Allah SWT. Seorang
yang jujur juga akan teguh memegang amanah yang diberikan kepadanya. Sebagai
hamba Allah kita bukan sahaja perlu melaksanakan amanah yang diberikan oleh
manusia tetapi yang lebih utama amanah yang diberikan Allah SWT sebagai
khalifah di muka bumi. Kedua-dua amanah ini melibatkan hubungan di antara
manusia (hablum minannas) dan hubungan dengan Pencipta (hablum minallah).
Manusia
diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak dan
melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan. Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya)
itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An-Nisa’, 4:58)
Amanah dalam kehidupan berkait dengan
pelbagai perkara yang merangkumi hak Allah SWT, hak sesama manusia, hak dalam
kesederhanaan, hak dalam tanggungjawab dalam organisasi. Oleh itu, sifat jujur
dan amanah adalah sifat yang serangkai dan saling berkaitan. Apabila wujudnya
sifat jujur dalam diri seseorang maka dengan sendirinya sifat amanah terbentuk
dalam diri seseorang.
3) Bersyukur
Syukur terdiri daripada tiga perkara yang
mendasarinya iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmu dapat menyedarkan
seseorang bahawa nikmat yang diterimanya adalah kurniaan Allah SWT. Dengan
nikmat tersebut manusia melahirkan rasa syukur dan rasa gembira. Manakala,
apabila bersyukur sudah pasti setiap perbuatan yang dilakukannya terarah untuk
mencapai redha Allah SWT.
Dalam
konteks amalan rasuah, manusia dapat menolak amalan tersebut dengan mudah
apabila berasa syukur dan cukup dengan nikmat yang Allah berikan. Seseorang
yang bersyukur juga tidak akan cuba mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi
haknya secara batil. Mengambil hak secara batil merupakan perbuatan mengkufuri
nikmat Allah SWT dengan jawatan dan pekerjaan yang dilakukannya. Sikap syukur
ini juga menyebabkan seseorang berasa tenang dengan apa yang dikurniakan oleh
Allah SWT sama ada kaya, miskin, sihat atau sakit. Hal ini kerana, kepercayaan bahawa
setiap sesuatu yang diberikan Allah SWT kepada hambanya mempunyai hikmah yang
tersendiri. Sikap manusia yang tidak bersyukur telah dinyatakan Allah SWT yang
bermaksud:
“dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap
hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan
perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya
itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya
ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi melihat
dengan nyata". (As-Syura, 42: 27)
Firman Allah SWT
tersebut menyatakan bahawa seseorang yang dikatakan tidak bersyukur adalah
orang yang tamak dengan kemewahan dunia dan tidak pernah berasa puas dengan apa
yang dimilikinya.
Sebagai kesimpulannya, rasuah merupakan amalan yang
mengkhianati agama dan negara. Amalan ini tidak boleh diterima walaupun
terdapat sesetengah pihak yang menyatakan terdapat unsur positif dalam
pelaksanaanya. Amalan ini jelas ditolak dalam Islam semenjak zaman Rasulullah
SAW. Manusia sepatutnya tidak lalai dengan kemewahan dunia sehingga mengabaikan
kewajipan dan hak yang sepatutnya. Islam telah menyatakan bahawa harta dan
kemewahan di dunia adalah ujian kepada orang-orang yang beriman. Keimanan,
keyakinan dan kepatuhan yang teguh kepada perintah Allah SWT dapat menghindari
seseorang itu daripada terjebak dengan amalan yang keji ini. Oleh itu, manusia
khususnya umat Islam perlu sedar dan kembali kepada fitrah kejadian yang
sebenar bahawa mereka diciptakan untuk menjadi hamba dan khlifah di atas muka
bumi ini.